Inilah dia kejadian alam yang mendapat perhatian masyarakat dunia..pikirkanlah!!!
Terdapat dua planet dalaman yang terletak di antara bumi dengan matahari, iaitu Utarid (Mercury) dan Zuhrah (Venus). Dalam pergerakan orbit planet-planet dalaman berpusatkan matahari akan berlaku satu keadaan penjajaran antara matahari, planet dan bumi. Disebabkan orbit planet condong pada satu nilai tertentu, kedudukan satah matahari bumi dan matahari planet ketika penjajaran ini tidak sentiasa sama. Planet boleh berada ke utara atau ke selatan matahari. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu penjajaran ini berlaku secara sempurna, di mana matahari-planet-bumi berada segarisan dan sesatah. Fenomena ini dinamakan lintasan atau transit. Dengan tempoh mengorbit matahari mengambil masa 0.6 tahun (225 hari bumi), Zuhrah akan berada pada kedudukan penjajaran dengan matahari bagi ulangan tempoh masa tersebut. Kekerapan berlakunya fenomena transit planet Zuhrah pula berlaku sekali dalam tempoh terpendek 7 tahun atau terpaksa menunggu sehingga 100 tahun. Pada 8 Jun 2004 telah berlaku fenomena lintasan planet Zuhrah dengan matahari. Suatu yang ditunggu sejak fenomena terakhir berlaku pada tahun 1882. Dengan saiz Zuhrah 1/32 berbanding matahari, cakera Zuhrah hanya menutup 3% daripada permukaan matahari. Jika tersilap amati, planet ini seakan-akan titik sunspot matahari. Apa yang berbeza, ketika berlakunya lintasan ini, Zuhrah kelihatan sebgaai cakera yang merayap di permukaan matahari. Bagi ahli-ahli astronomi, fenomena lintasan Zuhrah merupakan acara besar cakerawala abad ini. Selain daripada menyemak ketepatan efemeris matahari dan planet, kajian terhadap atmosfera Zuhrah juga boleh dilakukan. Persoalan sama ada planet Zuhrah mempunyai atmosfera atau tidak, boleh terjawab. Mitos lama mengatakan planet Zuhrah tidak mengandungi atmosfera, tetapi kajian oleh Mikail Vasilyevich (1761) mengatakan sebaliknya. Analisis imej satelit juga menunjukkan Zuhrah mempunyai atmosfera. Pengesahan dijangka dapat dibuat dengan mengkaji imej bayang sebelum sentuhan pertama dan selepas sentuhan keempat. Manisnya, pengesahan ini boleh dilakukan oleh semua pemerhati yang melihat fenomena ini sebelum sentuhan pertama dan selepas sentuhan keempat.
|